Masalah teknikal punca pesawat AirAsia berpatah balik selepas tiga minit berlepas

Astro Awani
Disember 30, 2019 07:08 MYT
Masalah teknikal menjadi punca pesawat AirAsia berpatah balik selepas tiga minit berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAB Langkawi) pagi Isnin. - Gambar hiasan
Masalah teknikal menjadi punca pesawat AirAsia berpatah balik selepas tiga minit berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAB Langkawi) pagi tadi.
Menurut syarikat penerbangan tambang murah itu, pesawat AK9327 itu dan semua penumpang selamat mendarat di LTAB Langkawi pada 9.40 pagi yang sama.
"Kesemua penumpang telah diberikan bantuan yang diperlukan. Penerbangan gantian ke Kuala Lumpur sedang diatur dan dijangka berlepas dari Langkawi pada pukul 4.45 petang," kata syarikat berkenaan dalam kenyataan yang diedarkan kepada media.
BACA: Pesawat AirAsia berpatah balik selepas tiga minit berlepas dari LTAB Langkawi
Penumpang-penumpang yang terjejas juga, kata AirAsia, akan dimaklumkan mengenai status penerbangan dari semasa ke semasa.
Pada pagi Isnin, pesawat AirAsia menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) berpatah balik selepas tiga minit berlepas dari LTAB Langkawi pagi tadi.
Pengurus LTAB Langkawi, Jefry Ramli berkata pesawat itu yang membawa 156 penumpang dan anak kapal berlepas pada 9.17 pagi.
Beliau berkata pihaknya menerima maklumat pada 9.20 pagi berkaitan masalah yang dialami oleh pesawat AK 9327 daripada menara kawalan trafik udara LTAB Langkawi.
#AirAsia #AK9327 #Kuala Lumpur #Langkawi #LTAB