KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan agar tidak menggunakan peranti penstriman tidak sah yang mengandungi kandungan yang tidak mendapat kebenaran sah hak cipta kerana ia melanggar Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 (Akta 1645).

Amaran diberikan Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan susulan tindakan sesetengah pihak yang dilihat masih berdegil menjalankan aktiviti haram itu.

Ujarnya jika tertangkap, individu mahupun pengguna yang menggunakan peranti penstriman tidak sah dengan kandungan siaran cetak rompak, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang.

"Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 (Akta 1645) yang telah diterbitkan dalam Warta Kerajaan pada 10 Februari 2022 dan berkuatkuasa mulai 18 Mac 2022.

"Ia telah membawa beberapa pindaan terhadap Akta Hak Cipta 1987 yang bertujuan untuk menguatkuasakan undang-undang terhadap pelanggaran hak cipta menerusi teknologi penstriman," jelasnya ketika ditemui Astro AWANI di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang pada Selasa.

Tambahnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya di bawah pentadbiran IPD Serdang sentiasa memantau aktiviti yang melanggar undang-undang itu.

Malah kempen kesedaran dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Astro turut dijalin bagi memastikan masyarakat lebih bertanggungjawab dalam menggunakan peranti penstriman yang sah.

"Program yang telah dijalankan pada hari ini oleh pihak polis bersama Jabatan Keselamatan Astro iaitu melawat beberapa lokasi premis perniagaan yang dikesan telah menggunakan alatan penstriman secara tidak sah.

"Program hari ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada premis perniagaan yang menayangkan siaran hiburan menggunakan perkhidmatan berbayar seperti Astro dan lain-lain penyedia perkhidmatan secara tidak sah adalah suatu kesalahan," jelasnya lagi.

Justeru, orang ramai jelas Anbalagan dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan ejen mahupun penjual peranti penstriman tidak sah di pasaran gelap.

Bagaimanapun, sekiranya pihaknya menerima laporan berhubung sebarang penggunaan peranti penstriman tidak sah, tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu berkenaan.

"Kami menasihatkan agar masyarakat untuk menghentikan penggunaan peranti penstriman yang tidak dibenarkan dan memastikan mereka memperoleh langganan bersesuaian serta menggunakan perkhidmatan hiburan yang sah di premis mereka.

"Ini kerana penstriman haram adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 43AA (1) Akta Hak Cipta dan jika disabitkan kesalahan di Mahkamah, boleh dihukum denda sehingga RM200,000 atau penjara sehingga 20 tahun ataupun kedua-duanya sekali," katanya lagi.