Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata meskipun kemajuan dicapai dalam Mesyuarat Perkongsian Tras Pasifik (TPP) Peringkat Menteri di Singapura, namun masih banyak kerja yang perlu dilakukan sebelum perjanjian perdagangan bebas (FTA) ditandatangani.

Beliau berkata kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat peringkat menteri selama empat hari itu di sini hari ini mencerminkan keyakinan yang tinggi.

"Sebenarnya, ada banyak lagi kerja yang perlu dilakukan sebelum perjanjian mengenai rundingan perdagangan itu boleh ditandatangani. Saya ingin 'mengganggu' keyakinan yang dinyatakan dalam kenyataan itu dengan sesuatu yang realistik.

"Dari satu sudut memang ada kemajuan, tetapi dari satu sudut yang lain ada jurang, sesetengah jurang ini agak besar, terutamanya bagi kita di Malaysia," katanya kepada pemberita pada akhir mesyuarat itu.

Mustapa berkata beliau berpuas hari dengan hasil rundingan itu kerana wujud rasa muhibah dan kesediaan untuk mengkaji kelonggaran bagi perkara-perkara utama.

"Bagaimanapun, seperti yang saya katakan, kita akan kaji semua ini," katanya.

Beliau menegaskan akses pasaran adalah isu teras dan ini turut melibatkan Malaysia kerana ini merupakan nadi dan jiwa mana-mana perjanjian perdagangan, dan banyak negara melihat TPP dari sudut akses pasaran.

Beliau berkata akses pasaran tentunya amat sukar.

"Saya tidak mahu menyebut rujukan khusus, tetapi bagi kita ini merupakan teras kepada TPP," tegas beliau.