[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
NATIONAL

Masjid MADANI: Kemenangan papar kemuliaan Islam, bukan tiket untuk angkuh - PM Anwar

Madiha Abdullah 27/03/2025 | 04:15 MYT
Anwar menekankan pentingnya menegakkan hak berasaskan hukum dan undang-undang serta mengingatkan masyarakat untuk tidak mengapi-apikan isu perkauman. -Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Kemenangan yang dicapai dalam usaha pembinaan masjid dekat Jalan Masjid India, di sini, bukan tiket untuk bersifat angkuh.

Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kemenangan dalam isu pembinaan Masjid Madani menunjukkan kebijaksanaan dan kemuliaan Islam, bukan keangkuhan.
  • Anwar menekankan pentingnya menegakkan hak berasaskan hukum dan undang-undang serta mengingatkan masyarakat untuk tidak mengapi-apikan isu perkauman.
  • Masjid Madani akan dibina di Jalan Bunus dan dijangka siap pada 2027, dengan tapak kuil dipindahkan ke lokasi baharu hasil rundingan pelbagai pihak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaliknya menegaskan, ia memberi mesej kebijaksanaan, kekuatan, dan kemuliaan Islam dalam menyelesaikan sebarang permasalahan.
“Kemenangan kita ini bukan kerana keangkuhan; kemenangan ini menunjukkan kekuatan dan kemuliaan Islam.
“Falah itu muncul apabila kita boleh menunjukkan keperibadian yang baik, ihsan, dan adil bukan bengis dan benci yang tidak pernah menjadi dasar yang kita dukung.
“Akhirnya apa yang kita minta adalah dirikan masjid,” katanya.
Tambah perdana menteri, ada sesetengah pihak menggunakan hak sebagai hujah dalam perdebatan isu tersebut, namun menegaskan hak perlu ditegakkan berasaskan hukum dan undang-undang.
Anwar turut menegur segelintir kelompok masyarakat yang menggunakan pembinaan masjid ini untuk mengapi-apikan isu perkauman, di samping mengingatkan bahawa negara ini dibina dengan asas keamanan.
“Kita bercakap soal ekonomi, kemampanan, teknologi dan sebagainya tetapi negara ini tertegak dengan keamanan. Orang luar datang berniaga dan melabur di sini kerana keamanan.
“Saya tahu ada kelompok baik Islam mahu pun Hindu yang mengeluarkan kenyataan tanpa peduli sama ada ia benar atau tidak, tanpa fikir kesan yang akan timbul,” katanya ketika merasmikan majlis pecah tanah pembinaan Masjid Madani milik kumpulan Jakel di Jalan Bunus, di sini, pada Khamis.
Masjid setinggi empat tingkat itu dibina di atas tanah seluas 12,142 kaki persegi dan dijangka siap pada 2027.
Pada Selasa, media melaporkan isu berhubung tapak kuil itu selesai apabila pihak pengurusan kuil berkenaan bersetuju untuk rumah ibadat itu dipindahkan ke lokasi baharu.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, hasil rundingan antara pelbagai pihak termasuk pengurusan kuil, kerajaan telah mengenal pasti tapak baharu berkeluasan 4,000 kaki persegi yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi asal bagi tujuan penempatan semula kuil berkenaan.
Sebelum itu juga, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berperanan menjadi pemudah cara dalam memastikan urusan perpindahan itu yang terletak di atas tanah swasta ke lokasi baharu diselesaikan dengan baik.
#Anwar Ibrahim #Masjid India #Masjid MADANI #perpindahan kuil #terkini