Mastura, Budiman angkat sumpah Ahli Parlimen

Harits Asyraf Hasnan
Oktober 17, 2016 04:15 MYT
Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid (gambar) dan Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd. Zohdi hari ini mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat. -Bernama
Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid dan Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd. Zohdi hari ini mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat.
Mereka mengangkat sumpah di hadapan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sejurus bermulanya Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat Parlimen Ke-13.
Mastura dan Budiman menang pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada Jun lalu.
Kedua-dua kerusi itu kosong berikutan kematian Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, pada 5 Mei lalu.
Menjadi tumpuan pada hari pertama mesyuarat hari ini adalah pertukaran kedudukan beberapa Ahli Parlimen seperti Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; dan Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking.
Selain itu, sidang kali ini bakal menyaksikan pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2017 itu akan berlangsung pada 4 petang, 21 Okt sebelum perbahasan di peringkat dasar dan jawatankuasa yang dijadual berlangsung sehingga minggu keenam.
Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-13 itu akan turut menyaksikan beberapa Rang Undang-Undang (RUU) dibaca buat kali pertama iaitu RUU Bank Pelaburan Infrastruktur Asia 2016; RUU Perancangan Bandar dan Desa (Pindaan) 2016; RUU Undang-Undang Mahkamah (Kaedah-Kaedah Pemulaan Tindakan Sivil) 2016 dan RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2016.
Adalah Difahamkan RUU Persendirian, iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 (RUU 355) turut tersenarai dalam Aturan Mesyuarat kali ini.
#Ahli Parlimen Kuala Kangsar #angkat sumpah #Budiman Mohd Zohdi #Mastura Mohd Yazid