Masuki ruang udara Zon Maritim Malaysia: 'Hanya latihan penerbangan biasa' - Kedutaan Besar China

Faris Danial Razi
Jun 1, 2021 14:29 MYT
Kesemua 16 buah pesawat milik Tentera Udara milik China (PLAAF) tersebut didakwa tidak langsung menyasarkan mana-mana negara. - Gambar/ TUDM
KUALA LUMPUR: Kedutaan Besar China di Malaysia mendakwa tindakan 16 buah pesawat tentera republik itu memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia, Kota Kinabalu dan menghampiri ruang udara nasional pada Isnin sebagai latihan penerbangan biasa.
Jurucakap kedutan itu berkata, kesemua 16 pesawat Tentera Udara China (PLAAF) tersebut tidak langsung menyasarkan mana-mana negara.
“Menurut undang-undang antarabangsa, kapal terbang tentera China itu hanya menikmati kebebasan penerbangan di ruang udara berkenaan.
“Malah, sepanjang latihan tersebut, pesawat tentera China itu mematuhi undang-undang antarabangsa yang berkaitan dan tidak memasuki ruang udara wilayah mana-mana negara lain.
Dakwanya, tiada apa yang perlu dicurigakan kerana Malaysia dan China adalah ibarat jiran yang mesra.
“China dan Malaysia adalah negara jiran yang ramah mesra, dan China bersedia untuk meneruskan rundingan persahabatan dua hala dengan Malaysia untuk bersama-sama menjaga keamanan dan kestabilan serantau,” dakwanya lagi.
BACA: TUDM sahkan 16 pesawat tentera China 'ceroboh' ruang udara Malaysia
Sebelum ini, Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad berkata, penerbangan pesawat-pesawat PLAAF tersebut telah dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM di Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 pagi Isnin.
Pesawat-pesawat tersebut telah dikesan terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika di antara satu sama lain.
#TUDM #China #Singapura #Kota Kinabalu #pesawat #penerbangan #undang-undang #Malaysia #ruang udara malaysia #Pesawat Tentera China