KANGAR: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar masyarakat sentiasa memberikan sokongan emosi kepada golongan mualaf.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah aspek kesihatan mental saudara baharu itu harus diberikan perhatian supaya soal kesejahteraan kehidupan mereka sentiasa terpelihara.

"Semua pihak harus berlaku adil dan menghormati keputusan golongan saudara baharu yang telah memilih untuk berhijrah kepada Islam. Justeru, sokongan emosi perlu diberikan bagi mengelakkan isu tekanan yang akan menjejaskan kesihatan mental mereka," titah baginda dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu memaklumkan Raja Muda Perlis bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyampaikan sumbangan MAIPs bernilai RM55,800 kepada mualaf Perlis di Masjid Al A'la Behor Temak di sini, baru-baru ini.

Dalam kenyataan sama, MAIPs memaklumkan melalui Bahagian Dakwah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), badan itu sentiasa menyediakan sokongan untuk saudara baharu di negeri itu melalui pendekatan runding cara dan pelaksanaan program serta kelas pengajian dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

"MAIPs turut menubuhkan Pusat Dakwah 'Perlis Centre of Wisdom' (PCW) yang bertindak melaksanakan pelbagai program dan aktiviti termasuk menyediakan platform penerangan agama secara dalam talian," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, , Tuanku Syed Faizuddin Putra menerusi kenyataan berasingan yang dikeluarkan Istana Arau bertitah supaya semua pihak mengamalkan pemakanan sihat semasa meraikan Aidilfitri.

"Amalkan pemakanan sihat sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini agar kita dapat mengekalkan kesihatan yang dianugerahkan dan sihat itu milik kita semua," titah baginda.

-- BERNAMA