MALAYSIA

Masyarakat diingatkan jaga adab, akhlak di media sosial - Pendakwah

Afiezy Azaman 05/09/2025 | 03:20 MYT
Kadangkala apa yang dikongsikan boleh mencederakan hati pembaca dan boleh dianggap sebagai siber buli. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pengguna media sosial diingatkan supaya lebih beradab dan berakhlak ketika menulis atau memberikan pandangan di platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok agar tidak menyinggung atau melukakan perasaan orang lain.


Ringkasan AI
  • Ustaz Mohamad Abdullah El Fateh tegaskan kebebasan bersuara sering disalah guna hingga mencetuskan siber buli dan kesan psikologi serius.
  • Sultan Perak gesa masyarakat hentikan budaya mengejek, memfitnah dan menjatuhkan hukum tanpa asas, yang bercanggah dengan adab Islam dan adat Melayu.
  • Pendekatan menyeluruh diperlukan, dengan ibu bapa digalakkan mendidik anak agar menulis dan bertutur dengan rasa takwa serta hormat terhadap sesama insan.


Pendakwah bertauliah Negeri Selangor dan Sarawak, Ustaz Mohamad Abdullah El Fateh berkata, kebebasan bersuara di media sosial sering disalahgunakan sehingga ada tulisan atau kenyataan yang tidak mencerminkan akhlak seorang Muslim.

“Kadangkala apa yang dikongsikan boleh mencederakan hati pembaca dan boleh dianggap sebagai siber buli.

"Lebih membimbangkan, ia turut memberi kesan psikologi sehingga ada yang mengambil keputusan membunuh diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang menggesa ummah meninggalkan perbuatan tercela seperti mengejek, memberi gelaran jelik, bersangka buruk, mengumpat, memfitnah dan menjatuhkan hukum tanpa diselidiki.

Baginda dalam Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak pada Khamis, bertitah penyebaran fitnah dan kebencian yang semakin menular terutama dalam media sosial, kini merancakkan perpecahan yang lebih getir.

Titah baginda, ummah disajikan dengan kata-kata menjelikkan, menghina, mempersendakan dan membadutkan orang yang tidak bersefahaman dengan kumpulannya dan ia menjelmakan budaya baharu yang sangat bercanggah dengan adab seorang Muslim dan berlawanan dengan adat Melayu.

Dalam perkembangan itu, Mohamad berkata, perkara ini tidak boleh dipandang ringan dan pendekatan menyeluruh perlu diambil bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga akhlak ketika menulis atau berkata sesuatu.

Beliau menegaskan, Rasulullah SAW sendiri berdepan celaan dan makian sepanjang perjuangan Baginda, namun tetap menunjukkan kesabaran serta teladan akhlak yang mulia sehingga Islam diterima oleh masyarakat.

“Saya ingat titah Sultan Perak juga perlu diambil kira dalam membina masyarakat madani. Tanggungjawab ini bukan sahaja di sekolah tetapi bermula dari rumah, dengan ibu bapa berperanan mendidik anak menggunakan bahasa yang baik serta beradab,” katanya.

Ustaz Mohamad menambah, setiap Muslim perlu sedar bahawa setiap tulisan dan tutur kata akan dihisab oleh Allah SWT.

“Bila menulis, menulislah dengan rasa takwa kepada Allah. Bila bercakap, bercakaplah dengan rasa takwa kepada Allah. Itu yang diajar Rasulullah SAW,” katanya.





#media sosial #buli siber #Mohamad Abdullah El Fateh #Muslim