KUALA LUMPUR:Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerima aduan berhubung kegiatan individu menyamar sebagai pegawai perkhidmatan pekerjaannya menyasarkan mangsa dalam kalangan orang awam.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata kegiatan itu telah mencemar usaha Perkeso yang giat melaksanakan pelbagai program pasaran buruh aktif bagi membantu Orang Berinsurans Perkeso dan rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan akibat krisis COVID-19.

"Dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti mempromosikan perkhidmatan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) seperti hebahan jawatan-jawatan kosong, Perkeso secara telus berkongsi nama dan nombor telefon pegawai perkhidmatan pekerjaan kami bagi memudahkan orang ramai berhubung dan mendapatkan maklumat jelas berkaitan perkhidmatan yang disediakan ini.

"Namun begitu, penyebaran maklumat berkaitan pelbagai perkhidmatan Perkeso menerusi media sosial telah menarik perhatian scammer (penipu) di luar sana untuk menjalankan aktiviti penipuan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

"Laporan polis telah dibuat oleh pegawai kami, Khairul 'Ammar bin Hashim berhubung profail dan dua nombor telefon beliau yang telah digunakan oleh scammer untuk menipu beberapa rakan sekerja.

"Scammer ini menghubungi beberapa rakan sekerja Khairul 'Ammar dan meminta supaya sejumlah wang dipindahkan ke Akaun Maybank milik Muhd Nur Azami bin Manila," katanya.

Menurut beliau seorang rakan sekerja Khairul 'Ammar telah terpedaya dan memindahkan RM500 ke akaun tersebut selepas diminta oleh penyamar atas alasan tidak boleh mengakses perbankan dalam talian.

Sehubungan itu, Perkeso menasihati semua Orang Berinsurans Perkeso, majikan, orang ramai dan pegawai-pegawai Perkeso sendiri supaya lebih berhati-hati dengan taktik scammer agar tidak mudah tertipu.

Beliau turut menasihati mereka yang berkenaan agar menyemak dengan Perkeso atau melaporkan kepada organisasi itu sekiranya ada pihak yang meminta bayaran bagi perkhidmatan yang disediakan Perkeso.

"Saya juga tegaskan, semua bantuan faedah dan perkhidmatan Perkeso kepada Orang Berinsurans adalah percuma dan kami tidak menggunakan orang tengah dalam menyampaikan bantuan dan perkhidmatan," katanya.

-- BERNAMA