MALAYSIA

Masyarakat khususnya mangsa scam digalak manfaatkan talian 997 - Teo

Bernama 26/07/2025 | 12:30 MYT
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata NSRC yang dikendalikan sepenuhnya Polis Diraja Malaysia (PDRM), diyakini akan dapat membantu lebih ramai mangsa penipuan dalam talian. - Foto BERNAMA
KULAI: Masyarakat di negara ini khususnya mereka yang menjadi mangsa penipuan dalam talian digalakkan untuk memanfaatkan talian 997, iaitu Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) yang akan beroperasi selama 24 jam bermula September.


Ringkasan AI
  • Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, menggalakkan mangsa penipuan dalam talian menggunakan talian 997 (NSRC) yang akan beroperasi 24 jam mulai September di bawah kendalian penuh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
  • NSRC kini membolehkan laporan polis dibuat terus melalui panggilan tanpa perlu hadir ke balai, memudahkan mangsa bertindak segera.
  • Teo turut memaklumkan bahawa 80% iklan penipuan dikesan di Facebook, dan beliau sendiri pernah menjadi mangsa penyalahgunaan gambar untuk iklan palsu.


Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata NSRC yang dikendalikan sepenuhnya Polis Diraja Malaysia (PDRM), diyakini akan dapat membantu lebih ramai mangsa penipuan dalam talian.

Beliau berkata trend penipuan di media sosial kini dilihat semakin meruncing dan meningkat setiap tahun dan setakat 15 Julai tahun ini, 46,817 hantaran berkaitan iklan penipuan telah direkodkan.

"Dulu kita cakap selepas menghubungi 997, mangsa masih perlu pergi ke balai polis untuk buat laporan, tetapi sekarang 997 ataupun NSRC telah diambil alih PDRM sepenuhnya.

"Maksudnya apabila seseorang mangsa hubungi 997, ia akan diambil sebagai laporan dengan polis. Jadi mangsa tidak perlu pergi ke balai polis dan menjimatkan masa.

"Jadi saya berharap, lebih lagi ramai orang yang tahu tentang talian NSRC ini supaya mereka boleh hubunginya secepat mungkin," katanya pada sidang media selepas meninjau projek pembinaan longkang konkrit bagi mengatasi masalah banjir kilat di Kampung Melayu Bukit Batu, di sini hari ini.

Teo berkata sebanyak 80 peratus iklan bersifat penipuan dalam talian di media sosial dikesan banyak berlaku di Facebook menggunakan nama individu berprofil tinggi.

Beliau berkata pada tahun 2023, pihaknya telah mengambil tindakan penurunan terhadap 6,297 iklan bersifat penipuan di semua platform media sosial.

"Saya sendiri juga menjadi mangsa yang gambar saya diguna pakai oleh penipu. Mereka membuat iklan pemberian buku secara percuma oleh Mantan Menteri Pendidikan, pada minggu lepas. Iklan ini sudah diturunkan tetapi terdapat pemilik akaun lain menaikkan iklan yang sama.

"Selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menurunkan iklan penipuan gambar saya, saya lihat ada enam akaun lain naikkan iklan palsu yang sama. Saya rasa tidak gembira dengan Meta, walaupun sudah melalui MCMC iklan bersifat penipuan tetapi mereka (Meta) masih benarkan orangg lain guna iklan itu," katanya.

-- BERNAMA


#Pusat Respons Penipuan Kebangsaan NSRC #mangsa scam #talian 997 #Teo Nie Ching