KUALA LUMPUR : Masyarakat perlu mempunyai pendidikan media bagi menilai sama ada maklumat berita yang diperoleh itu sahih atau khabar angin.

Pengerusi Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK), Prof Zaharom Nain berkata, langkah itu penting susulan kewujudan sesetengah platform baharu digital yang menyediakan maklumat yang bercanggah dengan berita disediakan media arus perdana.

"Dengan adanya platform baharu, lebih ramai masyarakat dapat menilai lebih kritis pandangan dan maklumat disediakan.

"Masalahnya, masyarakat ini seharusnya mempunyai pendidikan media untuk menilai mana yang boleh dipercayai dan mana hanya khabar angin.

"Ini juga bukan hanya terjadi kepada negara ini, tetapi juga negara lain di mana terdapat sumber berita tetapi sumber tersebut boleh dipertikai kesahihannya," katanya kepada Astro AWANI pada Khamis.

BACA : Astro AWANI terus unggul sebagai jenama berita paling dipercayai - Reuters Institut

Dalam pada itu beliau mencadangkan agar pihak media terus menyalurkan maklumat yang benar dan sahih selain bebas daripada kongkongan pihak berkuasa atau pemerintah.

"Justeru, saya melihat keperluan untuk menubuhkan Majlis Media yang bebas tekanan kerajaan bagi memastikan kebebasan media dilaksanakan dan rakyat memperoleh maklumat yang sahih," ujarnya.