NATIONAL

Masyarakat perlu kuasai bahasa isyarat, jangan sisihkan golongan OKU

Faida Rahim 11/05/2025 | 14:17 MYT
Wan Zuraidah berkata kemahiran berkomunikasi tersebut perlu dititikberatkan kepada semua golongan agar komuniti OKU agar tidak berasa terpinggir. - FB Persatuan Jurubahasa Isyarat Malaysia
KUALA LUMPUR: Masyarakat di negara ini disaran mempelajari dan menguasai bahasa isyarat bagi memudahkan
komunikasi termasuk menyantuni golongan orang kelainan upaya (OKU) pendengaran.
Presiden Persatuan Jurubahasa Isyarat Malaysia (MyAsli), Wan Zuraidah Abu berkata, kemahiran berkomunikasi tersebut perlu dititikberatkan kepada semua golongan agar komuniti OKU tidak berasa terpinggir.
"Kerajaan sendiri melaungkan inklusiviti, ia sesuatu yang agak sukar dicapai jika tiada peranan jurubahasa bersama dengan masyarakat pekak di dalam komuniti. Masyarakat sendiri juga perlu mempelajari bahasa isyarat untuk memberi sokongan kepada warga pekak ini. Tidak kira di mana mereka berada. Mereka juga perlukan komunikasi seperti orang biasa.
"Itu memang satu kenyataan... apabila diperlukan komunikasi, mereka perlu berinteraksi, dan mereka ingin tahu banyak perkara. Mereka tidak boleh diketepikan dalam masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI pada Ahad.
Jelas beliau lagi, dengan kemahiran berbahasa isyarat bukan sahaja dapat mengurangkan jurang dengan komuniti OKU tetapi sedikit sebanyak membantu mereka yang memerlukan pertolongan atau dalam kesusahan.
Dalam pada itu, Wan Zuraidah Seminar berharap seminar kebangsaan jurubahasa isyarat Nasli 2.0 dan jemputan ASEAN di George Town pada 14-16 Mei depan menyasarkan penyertaaan jurubahasa isyarat, guru-guru program pendidikan khas berkaitan pelajar pekak dan individu yang berminat menceburi bidang jurubahasa isyarat pada masa akan datang.
"Kita inginkan situasi di mana masyarakat itu lebih memahami keperluan warga pekak ini apabila mereka berada dalam masyarakat. Sebab itulah tugas dan tanggungjawab sebagai jurubahasa isyarat memang ada peranannya.
"Kita tak nak masyarakat ada salah tanggapan mengenai jurubahasa isyarat. Biasanya bila tengok kami, ramai ingat ini mesti jurucakap ni. Kita bukan jurucakap, kita adalah jurubahasa isyarat, kita kena memperkenalkan diri terlebih dahulu.
"Maka, seminar ini kita harapkan dapat perhatian dan sokongan daripada masyarakat secara amnya," katanya.
#OKU #MyAsli #Nasli 2 0 #bahasa isyarat