MALAYSIA

Masyarakat perlu peka, pasang jalur gemilang dengan betul - Aminuddin

Bernama 01/08/2025 | 10:00 MYT
Aminuddin ketika melepaskan peserta Konvoi Merdeka Jalur Gemilang pada Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang peringkat Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) hari ini. - Foto Bernama
SEREMBAN: Rakyat di Negeri Sembilan perlu lebih peka apabila memasang Jalur Gemilang dengan memastikan kedudukan bendera berada dalam keadaan yang betul, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.


Ringkasan AI
  • Rakyat Negeri Sembilan diseru lebih peka dalam pemasangan Jalur Gemilang, dengan memastikan bendera dipasang mengikut garis panduan dan dalam keadaan sempurna sebagai tanda hormat dan semangat patriotik.
  • Menteri Besar Aminuddin Harun menekankan pentingnya semangat kebangsaan merentasi generasi, khususnya golongan muda agar memahami sejarah dan mengamalkan nilai kebertanggungjawaban serta adab.
  • Program Kibarkan Jalur Gemilang 2025 dilancarkan di seluruh daerah, dengan simbolik penyerahan bendera kepada pegawai daerah sebagai permulaan sambutan Bulan Kebangsaan.


Beliau berkata pemasangan bendera yang sempurna bukan sahaja mencerminkan semangat patriotik, tetapi juga menunjukkan rasa hormat terhadap negara serta perpaduan masyarakat terutama menjelang Hari Kebangsaan.

"Kita telah merdeka 68 tahun, jangan menimbulkan kontroversi dengan adanya insiden menunjukkan pemasangan dan paparan di media sosial tidak mengikut garis panduan yang betul. Kibarkan bendera cukup sifatnya dengan penuh rasa bangga.

"Pastikan tiada Jalur Gemilang yang koyak atau lusuh. Kibarkan dengan hormat dan penuh adab kerana ini mencerminkan nilai diri kita sebagai rakyat Malaysia," kepada ketika berucap merasmikan Program Kibarkan Jalur Gemilang 2025 Peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.

Aminuddin berkata semangat patriotik harus dihayati semua pihak dan bukan milik generasi terdahulu sahaja, dengan menganggap bahawa zaman kini tidak relevan dalam konteks semasa yang serba moden.

Beliau berkata golongan muda sebagai pewaris negara perlu diasuh dengan kefahaman sejarah dan dipupuk dengan nilai kebertanggungjawaban serta dibimbing supaya menjadi rakyat yang berani bersuara, namun kekal beradab.

Terdahulu, pada majlis itu, semua pegawai daerah di Negeri Sembilan menerima Jalur Gemilang sebagai simbolik bermulanya program kibarkan Jalur Gemilang di seluruh daerah.

-- BERNAMA



#Jalur Gemilang #Hari Kebangsaan #Aminuddin Harun #Negeri Sembilan