Mat Yo mohon bantuan Tunku Ismail
Sinar Harian
Februari 17, 2024 12:45 MYT
Februari 17, 2024 12:45 MYT
BEKAS pemain kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha memohon bantuan daripada Penaung Persatuan Pemain Bola Sepak Malaysia (PFAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas Melaka United masih degil untuk melunaskan tunggakan gajinya.
Menurut Norshahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo, isu gaji tersebut sudah terlalu lama dan mengharapkan Tunku Ismail dapat membantu menyelesaikan masalah tersebut.
"@hrhcrownprinceofjohor Matyo masih menunggu perkhabaran dari Tunku untuk menghadap. Terlalu lama akan masalah @melakautdfc_official tidak melunaskan gaji.
"Tunku sebagai penaung PFAM harap dapat mendengar dan membantu akan masalah kami. Saya juga bekas pemain JDT dan pemain kebangsaan di bawah naungan Tunku harap sangat Tunku dapat membantu," tulisnya dalam laman Instagram.
Norshahrul beraksi untuk Melaka United selama semusim pada 2022 dan tunggakan gajinya difahamkan mencecah enam bulan.
Ini juga bukan kali pertama Mat Yo tampil bersuara selepas dia turut mendesak Melaka United melunaskan gaji pada Januari lalu.
"Lama tunggu, bayarlah hutang. Banyak kerugian isteri dan anak-anak alami. Tak baik aniaya orang. Bila nak bayar tu? Enam bulan bukan enam minggu tapi enam bulan tak bergaji. Kerja pergi kerja, gaji tak nak bayar?
"Macam ni anda bela nasib pemain yang pernah berbakti kepada negara? Awal-awal tahun 2022 dah lewat bayar lepas tu sikit-sikit pula," tulis Mat Yo baru-baru ini.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian