Mati akibat laksa? Jabatan Kesihatan Kedah, Perak siasat dakwaan

Bernama
Oktober 8, 2018 08:57 MYT
Jabatan Kesihatan Kedah dan Jabatan Kesihatan Perak sedang menyiasat dakwaan ada individu mati akibat makan laksa di Baling, Kedah. - Gambar hiasan
Jabatan Kesihatan Kedah dan Jabatan Kesihatan Perak sedang menjalankan siasatan berhubung kes yang melibatkan kematian dipercayai akibat makan laksa di Kampung Landak Kupang, Baling yang mula tular di laman sosial, semalam.
Pengarah Kesihatan Negeri Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail dalam satu pemakluman melalui pesanan WhatsApp kepada Bernama memberitahu kedua-dua jabatan itu sedang menjalankan siasatan berhubung kes tersebut.
Beliau berkata memandangkan kejadian tersebut melibatkan kematian dan merentasi sempadan negeri Kedah dan Perak, sebarang kenyataan rasmi akan dibuat melalui Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia.
Semalam, kecoh di laman sosial apabila seorang pengguna Facebook memuat naik status yang memaklumkan bahawa dua individu meninggal dunia akibat keracunan dipercayai selepas makan laksa yang dijual di gerai di Kampung Landak Kupang. -- Bernama
#Baling #jabatan kesihatan #Kampung Landak Kupang #Kedah #keracunan makanan #laksa