DUNGUN: "Ibarat mati hidup semula."

Itulah yang digambarkan nelayan Rosmadi Rahim, 48, yang terselamat dalam kejadian bot karam di perairan Pulau Kapas.

Menurutnya, walaupun dia dan rakannya Anuar Mohamad Nor, 57, terselamat, namun insiden itu meninggalkan kesan yang mendalam apabila tekong bot Wan Mustapha Ayob, 62, masih hilang.

Mengimbas tragedi itu, Rosmadi berkata mereka bertiga keluar dari jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (IKIM), di sini, pada Selasa lalu untuk menangkap ikan di perairan Marang.

Katanya, ketika berlabuh di perairan berkenaan, bot dinaiki mereka dibadai ribut menyebabkan bot terumbang-ambing sebelum dimasuki air.

Rosmadi berkata, dia kemudiannya  bertindak memotong tali sauh dan meneruskan perjalanan ke sebuah bot lain untuk meminta bantuan, namun tidak sempat berbuat demikian apabila bot mereka karam.

"Ayah ni dia tak pandai berenang, jadi, orang tak pandai berenang ni biasa panik sikit.

"Dalam tak pandai berenang tu dia kata, 'matilah kita, matilah kita', jadi saya pesan pada dia 'sabar yah, tak sampai nak tolong ayah... jangan lepas pelampung.

"(Saya) tak ada tenaga dah, dia pun tak ada tenaga, ... tengok pelampung tu dah jauh daripada dia, maknanya terlepas daripada dia.

"Saya panggil pun senyap, tak ada respons dah," kata Rosmadi.

Menurutnya, dia hanya menyerahkan nasib kepada Tuhan ketika terapung di laut kerana sudah kehabisan tenaga dan hanya minum sedikit air laut sebelum diselamatkan oleh nelayan lain.

Katanya lagi, kejadian tersebut merupakan pengalamannya yang pertama sepanjang 30 tahun menjadi nelayan.

Lebih perit lagi apabila kehilangan seorang sahabat dan dia berharap agar mangsa dapat ditemui dengan segera.

Dalam kejadian pada Rabu, seorang tekong bot nelayan dilaporkan hilang selepas bot dinaiki bersama dua lagi awak-awak karam di perairan Pulau Kapas, Marang.

Bagaimanapun kedua-dua awak-awak itu berjaya diselamatkan manakala tekong Wan Mustapha masih hilang.

Kejadian dikatakan berlaku sekitar 8 batu nautika, Pulau Kapas kira-kira jam 12.30 tengah hari.


Bot Karam | Nelayan kongsi kisah trauma