IPOH: Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat hadir ke majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak di Masjid Sultan Azlan Shah di sini, malam ini.

Turut berangkat Pengerusi Jemaah Pemangku Raja Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad, pembesar serta ketua-ketua jabatan.

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Imam Utama Masjid Sultan Azlan Shah, Syed Mohd Muzzaffar Syed Azlan.

Ia kemudiannya diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh bekas juara Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa, Radzi Kamarul Hailan dan selawat nabi beramai-ramai.

Majlis diteruskan dengan tayangan video, pengumuman dan penyampaian anugerah sempena sambutan berkenaan.

Wakil Astro AWANI Perak, Abd Razak Mohd Ali dipilih sebagai penerima Anugerah Pengamal Media yang julung-julung kali diperkenalkan tahun ini.

Setiausaha Masjid Muhammadiah (Masjid Cina), Muhammad Missyaqirin Thien Abdullah pula dipilih penerima Anugerah Pendakwah manakala ahli perniagaan, Datuk Abdul Rasid Nopiah menerima anugerah Keluarga Mithali.

Penerima anugerah Pengamal Media dan Pendakwah menerima wang tunai RM3,000, plak dan sijil manakala penerima anugerah Keluarga Mithali menerima RM5,000, plak dan sijil.