Maut akibat serangan jantung ketika undurkan kereta

Abd Razak Mohd Ali
Julai 17, 2019 13:43 MYT
Menurut isteri mangsa, suaminya mempunyai rekod sakit jantung dan buah pinggang. - Gambar hiasan
Seorang warga emas, Ng Whai Khim, 71, maut di dalam kereta akibat serangan jantung di tepi rumahnya di Persiaran Bercham Selatan, Bercham Indah di sini pada Rabu.
Kejadian berlaku kira-kira 3.45 petang ketika Whai Khim sedang mengundurkan kereta jenis Perodua Myvi yang dipandunya sebelum hilang kawalan akibat serangan jantung.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, kejadian disedari isteri mangsa setelah terdengar bunyi kereta terlanggar sesuatu di luar rumah mereka.
Menurutnya, menyedari suaminya dalam keadaan tidak bermaya, wanita berusia 69 tahun itu segera menghubungi ambulan dan pihak polis untuk bantuan.
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat serangan jantung oleh pembantu perubatan.
“Menurut isteri mangsa, suaminya mempunyai rekod sakit jantung dan buah pinggang,” katanya dalam kenyataan di sini.
Pemeriksaan awal mendapati tiada perlakuan jenayah dikesan ke atas mangsa.
#Ng Whai Khim #Perodua Myvi #Persiaran Bercham Selatan #serangan jantung #undurkan kereta