Maut dihempap kereta terjunam dari tingkat satu kondominium

Dewi Nur Harasha Alias
Disember 3, 2020 09:00 MYT
Beginilah keadaan kereta yang dipandu wanita warga emas berusia 71 tahun selepas terjunam dari tingkat satu sebuah kondominium di Green Lane, George Town pada Khamis. - Gambar ihsan JBPM
GEORGE TOWN: Seorang pejalan kaki maut selepas dilanggar dan dihempap sebuah kereta yang terjunam dari tingkat satu sebuah kondominium di Green Lane, di sini pada Khamis.
Mangsa dikenali sebagai Kim Hui Ping, 49, maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di bahagian badan.
Sementara pemandu kereta, wanita warga emas berusia 71 tahun, turut mengalami kecederaan akibat tersepit di dalam kenderaannya.
Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, dalam kejadian pukul 12 tengah hari itu, warga emas yang memandu kereta jenis Vios itu dikatakan memandu kenderaannya menuju ke tempat letak kereta di tingkat satu kondominium tersebut.
Bagaimanapun, setibanya di selekoh, seorang pejalan kaki telah melintas secara tiba-tiba di hadapan kenderaannya menyebabkan warga emas itu tertekan pedal minyak lalu melanggar mangsa.
Mangsa kemudiannya turut terseret sebelum kenderaan itu merempuh tembok tempat letak kereta lalu terjatuh ke atas sebuah kereta yang di parkir di bawah bangunan tersebut.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala warga emas itu tersepit di dalam kenderaannya.
Sementara itu, pegawai operasi Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Yusri Zakaria, memaklumkan pemandu kenderaan yang tersepit berjaya dikeluarkan lalu dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Proses bedah siasat akan dijalankan ke atas mangsa yang meninggal dunia pada esok selepas mendapat keputusan ujian COVID-19.
Kes di siasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
#wanita maut #dihempap kereta #kereta terjunam #tingkat satu kondominium