Maut ditimpa dahan pokok ketika dalam perjalanan pulang

Astro Awani
Januari 17, 2019 16:27 MYT
Mangsa maut ditempat kejadian akibat kecederaan parah.
Seorang lelaki maut akibat ditimpa dahan pokok, ketika menunggang motosikal pulang ke rumahnya di Jalan Chemumar, Simpang Ampat, Perlis.
Dalam kejadian kira-kira 4 petang Khamis, mangsa yang dikenal pasti sebagai Mohd Shahrizal Wahid, 35 tahun maut ditempat kejadian akibat kecederaan parah.
Anaknya, Nur Khazreena Syamimi, 3 tahun yang menunggang bersama mangsa, dilaporkan cedera dibahagian muka, tangan dan kaki.
Menurut Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, kemalangan disyaki berpunca akibat dihempap pokok tumbang dari arah sebelah kiri, sebelum mangsa terbabas dan jatuh di tengah-tengah jalan.
“Terdapat kesan seret dan calar di atas tar. Bagaimanapun, kesan pokok tumbang di lokasi kejadian yang menghalang laluan telah dialihkan oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM)," katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar untuk bedah siasat.
Sementara itu, di perkarangan Jabatan Forensik HTF, ahli keluarga dan sahabat mangsa hadir bagi memberikan penghormatan terakhir.
Kami yang cuba mendapatkan ahli keluarga mangsa, bagaimanapun gagal kerana enggan ditemubual.
#ditimpa dahan pokok #Hospital Tuanku Fauziah #Jalan Chemumar #maut #Mohd Shahrizal Wahid #Nur Khazreena Syamimi #simpang ampat