Maut kerana RM4: 'Arwah halalkan semua, lahir hasrat ke syurga' - Keluarga angkat

Azee Shafy
Mac 22, 2022 07:08 MYT
Faridah berkata, mangsa pernah menceritakan mengenai rakan-rakan yang pernah berhutang dengannya. - Foto Astro AWANI
KUANTAN: Kanak-kanak yang meninggal dunia dipercayai akibat dibelasah pelajar senior di sebuah kompleks rumah anak yatim dan miskin, di sini pada petang Ahad lalu, disifatkan seorang yang peramah dan tidak pernah berkira dengan rakannya.
Mangsa pernah menyuarakan hasrat untuk melangkah ke syurga apabila dilihat sering menghalalkan kesemua hutang rakan-rakannya.
Menurut Faridah Latif, 49, yang mengakui anak angkat kepada nenek mangsa, arwah pernah menceritakan mengenai rakan-rakan yang pernah berhutang dengannya.
“Arwah pernah juga bercerita kawannya pernah berhutang, tapi ibunya minta arwah agar tidak berkira dan menghalalkan sahaja hutang rakannya itu.
“Sebab tu, sejak dari hari itu, dia tidak berkira dengan kawannya. Malah pernah cakap kalau dia mati, dia nak masuk syurga," katanya ketika ditemui Astro AWANI.
BACA: Murid 11 tahun dibelasah hingga maut hanya kerana RM4
Menurut Faridah, memandangkan sifat arwah yang tidak berkira itu, dia menzahirkan rasa terkilan apabila mengetahui arwah meninggal dunia disebabkan duit sejumlah RM4.
Katanya, sesuatu yang tidak logik sekiranya arwah berbuat demikian sedangkan arwah seseorang yang selalu 'bersedekah' dengan menghalalkan hutang rakannya.
“Saya betul-betul terkilan dengan apa yang terjadi. Sanggup arwah diperlakukan sedemikian sedangkan arwah ini masih kecil, tubuh badan pun tak besar pun.
"Walaupun saya ibu saudara angkat, namun kehilangan arwah sangat dirasai. Dia anak yang baik, baik sangat," luahnya.
Jenayah | Murid 11 tahun maut dibelasah hanya kerana RM4
Faridah berkata, dia yang mesra dipanggil 'Mama' oleh arwah sering berjumpa di rumah ibu angkatnya di Kampung Gelugor.
Mahu siapkan pondok dan gelongsor atas pokok jering
Kali terakhir bertemu arwah pada Januari lalu dan arwah dikatakan mahu membina pondok dan gelongsor di atas pokok jering bersebelahan rumah dan bengkel ayahnya untuk bermain bersama adiknya.
“Arwah beritahu nak siapkan pondok atas pokok jering dan menambah gelongsor. Arwah siap berpesan pada adiknya supaya menunggunya pulang dari asrama untuk bermain bersama-sama dipondok itu,” katanya.
Sementara itu menurut seorang jiran, Mohamad Ikmal Hasbullah Arifin, 23, dia sering bertembung dengan arwah setiap kali hendak ke tempat kerja, dan arwah kerap menegurnya dengan mengangkat tangan serta melambai kepadanya.
"Arwah memang baik. Kalau saya lalu depan rumah untuk ke tempat kerja, dia akan angkat tangan kepada saya. Siapa pun yang arwah jumpa, dia akan tegur. Memang dia seorang yang peramah.
"Arwah selalu bermain basikal bersama adiknya setiap petang, kadang-kadang mandi sungai berdekatan rumahnya," katanya.
Katanya, dia mengetahui kejadian ini selepas waktu Maghrib pada Ahad lepas menerusi aplikasi kumpulan WhatsApp.
Mohamad Ikmal Hasbullah memberitahu, apabila menerima perkhabaran itu, dia sangat terkejut lebih-lebih lagi apabila kematiannya itu didakwa berpunca dari wang RM4.
"Saya rasa sangat geram bila dengar berita ni. Tak masuk akal langsung, arwah dibelasah teruk sampai hilang nyawa hanya sebab RM4 sahaja.
"Tapi, biarlah polis buat kerja mereka. Siasatan sehabis mungkin. Semoga ada pembelaan untuk arwah," katanya.
Katanya, kali terakhir dia berjumpa dengan arwah ketika dipindahkan pusat pemindahan banjir (PPS) semasa Kampung Gelugor ini dilanda banjir Disember tahun lalu.
Difahamkan mangsa mula dihantar bagi mendapatkan pengajian agama di kompleks rumah anak yatim dan miskin berkenaan sejak setahun lalu.
Arwah dikatakan dihantar untuk memulakan sesi baharu pengajian pada Khamis minggu lalu sebelum dikatakan meninggal dunia akibat dibelasah pelajar senior pada Ahad.
Semalam media melaporkan seorang penghuni sebuah rumah anak yatim maut dibelasah rakannya di sebuah kompleks rumah anak yatim dan miskin di sini.
Difahamkan mangsa telah disepak, dicekik dan dihempas ke lantai sehingga tidak sedarkan diri di surau kompleks rumah anak yatim dan miskin berkenaan hanya kerana disyaki mengambil duit sebanyak RM4.
#dibelasah senior #maut dipukul #curi RM4 #rumah anak yatim #Kuantan