KUANTAN: Bapa kepada kanak-kanak 11 tahun yang meninggal dunia dipercayai akibat dibelasah pelajar senior di sebuah kompleks rumah anak yatim dan miskin, di sini, kelihatan tenang dan reda menerima pemergian anaknya.

Qurbani Azhar Rahimi, 40, berkata, dia juga bersyukur kerana urusan pengebumian anaknya Muhammad Hafdan Qurbani Azhar, berjalan lancar.

"Kami dah sedia untuk pengebumian sejak semalam (kelmarin) tapi disebabkan hal-hal berkaitan COVID-19, ia terpaksa ditangguhkan.

"Alhamdulillah. Hari ini selesai semuanya. Segala urusan dipermudahkan," katanya.

Jenazah anaknya selamat dikebumikan sekitar jam 3.30 petang tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gelugur di sini yang turut dihadiri ahli keluarga terdekat termasuk pelajar kompleks rumah anak yatim dan miskin.

Jenazah anaknya selamat dikebumikan sekitar jam 3.30 petang tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gelugur di Kuantan. - Foto Astro AWANI


BACA: Maut kerana RM4: Arwah halalkan semua, lahir hasrat ke syurga - Keluarga angkat

BACA: Murid 11 tahun dibelasah hingga maut hanya kerana RM4

Bercakap mengenai suspek, Qurbani Azhar menyerahkan semuanya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan sewajarnya.

"Saya serahkan kepada polis sebab saya reda. Memang saya terasa kehilangan arwah kerana dia seorang yang sangat baik, memdengar kata dan bertanggungjawab.

“Tapi macam saya cakap tadi, saya reda dengan segalanya. Kepada pihak kompleks dan rakan-rakan mangsa, saya minta agar diberikan kemaafan buat arwah sekiranya arwah ada melakukan sebarang kesilapan," katanya.

Jenayah | Murid 11 tahun maut dibelasah hanya kerana RM4


Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang Ahad lalu, mangsa dipercayai disepak, dicekik dan dihempas ke lantai sehingga tidak sedarkan diri.

Difahamkan, kejadian berpunca hanya kerana kanak-kanak yang dibelasah itu disyaki mengambil duit sebanyak RM4.

Sementara itu Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata, polis telah menahan reman seorang pelajar berusia 16 tahun selama tujuh hari untuk siasatan lanjut kes yang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.