KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) akan mengemukakan pindaan kepada Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) berkaitan levi karbon untuk diwartakan menjelang akhir April 2024.

Suruhanjaya itu berkata ia telah menyelesaikan rundingan awam untuk mengumpul maklum balas mengenai pelaksanaan bayaran karbon bagi perjalanan udara.

Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata levi karbon boleh dikenakan sebaik sahaja MAVCOM membuat pindaan yang diperlukan sebelum levi karbon boleh dikutip oleh syarikat penerbangan.

"Perundingan awam yang dibuat ini adalah untuk memastikan bahawa walaupun syarikat penerbangan mengenakan bayaran karbon atau sebarang caj lain, langkah untuk melindungi pengguna dengan secukupnya telah disediakan," kata jurucakap MAVCOM kepada Bernama.

Bagaimanapun, Putrajaya menjadikannya pilihan kepada kedua-dua syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa yang terbang masuk dan keluar dari Kuala Lumpur untuk mengenakan levi karbon.

Denmark, Sweden, Afrika Selatan dan Belanda ialah antara negara yang telah mengenakan levi karbon terhadap penumpang.

Levi karbon yang dikenakan oleh syarikat penerbangan adalah untuk mengimbangi pelepasan karbon pesawat, serta merupakan kewajipan antarabangsa yang terpakai kepada semua syarikat penerbangan bukan saja di Malaysia, bagi memenuhi komitmen bawah skim pengimbangan dan pengurangan karbon untuk fasa mandatori penerbangan antarabangsa (CORSIA).

Menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), penerbangan global menyumbang kira-kira dua peratus daripada pelepasan karbon buatan manusia.

Pada tahun 2021, di mesyuarat tahunan IATA ke-77, industri itu komited untuk mencapai pelepasan karbon dioksida (CO2) bersih sifar menjelang 2050.

Persatuan itu menganggarkan bahan api penerbangan mampan (SAF) boleh menyumbang kira-kira 65 peratus daripada pengurangan pelepasan yang diperlukan oleh penerbangan untuk mencapai sifar bersih pada tahun 2050, yang memerlukan pengeluaran dipertingkatkan secara bear-besaran bagi memenuhi permintaan.

Ia berkata penggunaan terbesar dijangka pada 2030-an apabila sokongan dasar menjadi lebih global, SAF menjadi kompetitif dengan minyak kerosin fosil, dan pengimbangan yang boleh dipercayai menjadi semakin terhad. - BERNAMA