MAVCOM bimbang dengan gangguan berterusan di KLIA

Bernama
Ogos 23, 2019 09:30 MYT
Petugas Malaysia Airports membantu para penumpang di kaunter pendaftaran masuk KLIA yang mengalami gangguan sistem antara lain mengakibatkan kelewatan penerbangan. - Bern
Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) menyuarakan kebimbangannya mengenai gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Dalam kenyataan hari ini, suruhanjaya itu meminta Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memberi maklumat terkini kepada penumpang dan syarikat penerbangan mengenai bila sistem dapat dipulihkan.
Katanya MAHB bekerjasama dengan semua pihak yang berkaitan, termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk memulihkan operasi lapangan terbang itu.
"MAVCOM telah berusaha untuk mengukuhkan industri penerbangan di Malaysia. Sebahagian daripada peranan suruhanjaya itu ialah menyediakan mekanisme untuk perlindungan pengguna penerbangan, dan kami amat tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku di KLIA," katanya.
Suruhanjaya itu berkata ia akan terus memantau dan menilai tahap perkhidmatan di KLIA melalui Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang dan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC).
-- BERNAMA
#CAAM #gangguan sistem #KLIA #MAHB #mavcom #pihak berkuasa penerbangan awam malaysia #Suruhanjaya Penerbangan Malaysia