MALAYSIA
MAVCOM dibubar berkuat kuasa 1 Ogos, CAAM beralih jadi BBDSB

Anthony Loke berkata CAAM akan menjadi satu-satunya badan kawal selia industri penerbangan merangkumi aspek teknikal, keselamatan dan ekonomi. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) bakal dibubarkan secara rasmi pada 1 Ogos ini manakala Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) beralih menjadi Badan Berkanun Diasingkan dan Dibebaskan (BBDSB).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata CAAM akan menjadi satu-satunya badan kawal selia industri penerbangan merangkumi aspek teknikal, keselamatan dan ekonomi.
“Rasionalisasi inisiatif ini untuk mereformasi institusi kerajaan menjadikan penyelarasan yang lebih bersepadu dan efektif, selain mengurangkan pertindihan fungsi antara agensi,” ujar Anthony dalam sidang media di Kementerian Pengangkutan Malaysia, di sini pada Isnin.
Katanya, seramai 57 kakitangan MAVCOM akan ditawarkan tempat di dalam CAAM, dan terpulang kepada mereka untuk menerima atau sebaliknya.“Dalam beberapa hari lagi kita akan anjurkan sesi libat urus meliputi pemegang taruh dan kakitangan MAVCOM untuk membincangkan prospek mereka di CAAM termasuk semakan gaji.
“Kebanyakan mereka adalah kakitangan teknikal berkelayakan yang sangat kritikal kepada operasi pengangkutan udara, kami mahu mereka dibayar dengan berpatutan,” jelas Loke.
Tambah beliau, badan berkanun ini tidak lagi memerlukan suntikan kewangan daripada kerajaan melalui peruntukan tahunan serta tidak tertakluk kepada sistem saraan kerajaan.
Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2024 (Akta 856) akan dilupuskan manakala Akta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Akta A1723) bakal dipinda bermula 1 Ogos 2025.
Sebelum ini, fungsi CAAM adalah mengawal selia keselamatan teknikal dan operasi penerbangan, manakala MAVCOM memantau ekonomi dan hak pengguna dalam industri penerbangan.
Kedua-duanya saling melengkapi, namun timbul kerenah birokrasi berikutan kelulusan berasingan perlu dimohon daripada dua agensi berbeza, dan penyatuan MAVCOM serta CAAM menjanjikan urusan pengangkutan udara lebih efisien.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami