Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menafikan laporan media berhubung penglibatan suruhanjaya itu dalam menguji pesawat peninjau DA42M-NG Diamond berharga RM35 juta bagi kegunaan Jabatan Hutan Sarawak (JHS).

"Mavcom tidak mempunyai sebarang komunikasi dengan Jabatan Hutan Sarawak dan tidak bertanggungjawab terhadap ujian teknikal pesawat seperti dinyatakan dalam laporan berita itu.

"Mavcom adalah badan bebas yang mengawal selia urusan ekonomi dan komersil berkaitan dengan penerbangan awam," menurut kenyataan suruhanjaya itu hari ini.

Suruhanjaya itu berkata demikian ketika merujuk kepada laporan portal berita Dayak Daily semalam yang memetik Pemangku Pengarah JHS, Hamden Mohammad antara lain berkata pesawat tersebut sedang duji oleh Mavcom sejajar dengan prosedur operasi standard.

"Kami ingin tegaskan bahawa ini tidak benar sama sekali. Peraturan teknikal bagi industri penerbangan am tertakluk di bawah Akta Penerbangan Awam 1969 dan ia tidak termasuk dalam bidang kuasa Mavcom," menurut kenyataan itu.

Ia berkata matlamat Mavcom adalah untuk mempromosikan industri penerbangan yang berdaya maju berorientasikan pengguna dan berdaya tahan dalam industri yang menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Susulan artikel bertajuk "Forest Department Sarawak will be able to fly soon" dalam portal itu, Naib Pengerusi PKR Sarawak, See Chee How semalam membuat laporan polis terhadap JHS berhubung harga pembelian pesawat itu yang didakwa terlalu tinggi.

Pesawat dua tempat duduk itu, yang boleh dikendalikan tanpa juruterbang secara kawalan jauh, dikeluarkan firma aeroangkasa Austria, Diamond Aircraft Industries, berpangkalan di Vienna.

Chee How mendakwa harga pesawat ringan tersebut untuk operasi pengawasan hutan di negeri itu sepatutnya dalam lingkungan RM3.5 juta hingga RM5 juta.

DI KUCHING, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar negeri, Datuk Len Talif Salleh menjelaskan bahawa RM35 juta yang dibelanjakan JHS bukan semata-mata untuk pembelian pesawat tersebut tetapi adalah jumlah keseluruhan projek.

Beliau berkata kos RM35 juta itu meliputi pembelian pesawat, peralatan khas, alat ganti, jaminan, sokongan teknikal, latihan dan pelaksanaan projek selama lima tahun.

Chee How juga memaklumkan mahu membuat laporan yang sama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Isnin ini..

Dalam kenyataan hari ini, Len juga menjelaskan bahawa kos pembelian RM35 juta itu tidak ditanggung oleh kerajaan negeri Sarawak tetapi sebaliknya oleh kerajaan persekutuan melalui Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (MNRE).

Cadangan perolehan teknologi itu, katanya, telah dikemukakan oleh JHS kepada MNRE di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 dan proses perolehannya telah diluluskan Kementerian Kewangan dan Kabinet persekutuan tahun lepas.

Menurutnya, JHS menjadi agensi pelaksana projek kerana mereka mempunyai kepakaran dan kemahiran untuk mengendalikan sistem tersebut dan jabatan itu akan berkongsi kepakaran dan perkhidmatannya kepada semua agensi kerajaan lain yang memerlukannya di seluruh negara.

Beliau berkata projek itu juga bukanlah berasaskan keuntungan tetapi untuk penyelidikan, pengurusan dan pemantauan sumber hutan dan alam semula jadi.

"Memandangkan Chee How telah membuat laporan polis dan akan membuat laporan kepada SPRM, kami akan menyerahkan kepada pihak berkuasa terbabit untuk menjalankan siasatan," katanya.

-- BERNAMA