Skip to main content

Malaysia

Maxis rai graduan kohort pertama program Menuju Gemilang, perluas akses pendidikan tinggi

MENUJU GEMILANG MAXIS eKELAS
Maxis meraikan graduan kohort pertama program Menuju Gemilang, yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, melibatkan 40 pelajar daripada sekolah di Kuala Lumpur, Selangor dan Sarawak. - Foto Facebook Kementerian Pendidikan Malaysia
Advertisement

KUALA LUMPUR: Maxis meraikan graduan kohort pertama program Menuju Gemilang, yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, melibatkan 40 pelajar daripada sekolah di Kuala Lumpur, Selangor dan Sarawak.

Maxis dalam kenyataan hari ini memaklumkan, program yang dibangunkan dengan kerjasama  Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu ialah inisiatif untuk membantu pelajar kurang berkemampuan memperoleh kecemerlangan dalam SPM serta bersedia untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah) Zainal Abas berkata kerjasama itu selaras dengan aspirasi Pelan Pendidikan Malaysia 2026-2035 dalam memperkasakan belia daripada komuniti yang kurang mendapat peluang supaya menjadi individu berkemahiran dan seimbang, yang bersedia untuk melangkah ke alam universiti.

“Setiap pelajar berhak mendapat peluang untuk berjaya.Para graduan hari ini membuktikan bahawa dengan sokongan yang wajar, kejayaan mampu dicapai, dan saya berharap kejayaan mereka akan menjadi inspirasi kepada kohort baharu untuk melakar pencapaian yang lebih cemerlang,” katanya dalam kenyataan itu.

Majlis itu turut menyambut kemasukan 200 pelajar baharu ke dalam program itu, yang menjadikan jumlah keseluruhan kohort 2026 adalah sebanyak 400 pelajar.Pengerusi Maxis Datuk Johan Idris turut hadir meraikan kejayaan para pelajar serta berkongsi kata-kata semangat.

Menurut Maxis, kohort pertama program itu disertai 240 pelajar daripada 20 sekolah terpilih di Kuala Lumpur, Selangor dan Sarawak, menamatkan program berkenaan selepas mengikuti persediaan intensif selama tiga bulan bagi menghadapi SPM 2025.

Jumlah pelajar yang memperoleh keputusan 7A dan ke atas meningkat dua kali ganda kepada 33 peratus berbanding keputusan peperiksaan percubaan mereka, yang menyaksikan empat pelajar mencapai keputusan 9A dan ke atas.  

Selain itu, Maxis turut menganugerahkan geran pendidikan berjumlah RM50,000 kepada para pelajar terbaik bagi membantu mereka meneruskan pengajian.

Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis Azizul Abdul Rahman berkata inisiatif itu untuk merapatkan jurang peluang, sekali gus memastikan aspirasi melanjutkan pengajian ke universiti dapat direalisasikan oleh pelajar berpotensi tinggi daripada pelbagai latar belakang.

“Kami amat berbangga dengan pencapaian para graduan hari ini dan berharap dapat terus menyokong kohort baharu dalam perjalanan mereka,” katanya.

Chua Pak Ron, yang memperoleh 10A dalam SPM 2025 dan kini melanjutkan pengajian di Kolej Matrikulasi Melaka, berkata program itu menyuntik kesedaran bahawa melanjutkan pengajian ke universiti bukan sekadar impian, tetapi sesuatu yang mampu dicapai.

“Menuju Gemilang bukan sahaja membantu saya meningkatkan prestasi akademik, malah membuka mata saya terhadap potensi diri yang sebenar. Kini, saya berharap dapat melanjutkan pengajian dalam bidang pertanian di Universiti Putra Malaysia (UPM) supaya suatu hari nanti saya dapat memanfaatkan ilmu yang diperoleh untuk memajukan ladang keluarga,” katanya.

Selain bimbingan akademik, program itu turut merangkumi kem Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), kem kepimpinan serta bimbingan selepas SPM berkaitan laluan pendidikan dan peluang biasiswa.

Tempoh program itu turut dilanjutkan daripada 18 bulan kepada 24 bulan bagi menyediakan sokongan berterusan selepas pelajar menamatkan SPM, dengan setiap peserta menerima sebuah komputer riba untuk kegunaan sepanjang program dan pengajian seterusnya.

Menuju Gemilang adalah perluasan daripada Maxis eKelas, inisiatif pembelajaran digital utama Maxis untuk komuniti B40, dan peserta dipilih berdasarkan pencapaian akademik, penglibatan dalam aktiviti kokurikulum serta potensi kepimpinan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement