Sikap ingin tahu nelayan yang menemui sebuah beg di permukaan sungai membawa kepada penemuan mayat seorang bayi lelaki.

Bayi yang cukup sifat itu ditemui di dalam sebuah beg galas di tengah Sungai Beris Tok Ku, Penarik, dekat sini, kira-kira jam 4 petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Zulkifli Mat Deris berkata, ketika itu nelayan terbabit sedang mencari bubu sebelum ternampak beg galas berwarna biru timbul di tengah sungai.

Menurut Zulkifli, lelaki berkenaan kemudiannya mengambil beg galas itu lalu meletakkannya di atas perahu rakannya sebelum bertindak membukanya.

“Setakat ini, berdasarkan kepada fizikal mayat yang dijumpai, saya percaya mayat masih baru. Baru dilahirkan.

"Dan kita sedang menunggu keputusan daripada bedah siasat yang akan dijalankan pada esok hari (Jumaat),” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata mayat itu dibawa ke unit forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab di sebalik kejadian ini.

Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.