Mayat bayi lelaki 4 bulan ditemui dalam tong sampah

Bernama
April 8, 2022 02:00 MYT
Bayi malang itu telah tidak bernyawa dan dianggarkan dia telah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Mayat bayi lelaki yang dianggarkan berusia empat bulan ditemukan di tempat pembuangan sampah di sebuah kondominium di Bandar Baru Klang, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S. Vijaya Rao berkata mayat bayi berkenaan dijumpai oleh seorang lelaki di lokasi tersebut kira-kira 3 petang.
"Hasil pemeriksaan oleh pihak Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, bayi malang itu telah tidak bernyawa dan dianggarkan dia telah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam.
"Bertindak atas maklumat, pihak polis telah berjaya menangkap seorang wanita warga asing dan teman lelakinya yang merupakan warga tempatan masing-masing berumur lingkungan 30-an dan 40-an di sekitar lokasi kejadian.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah bagi permohonan perintah tahanan reman bagi meneruskan siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
-- BERNAMA
#bayi #tong sampah #kondominium #warga asing