Mayat bayi perempuan baru lahir ditemukan tenggelam dalam parit

Aida Aziz
Mac 10, 2024 22:20 MYT
Mayat seorang bayi perempuan ditemukan dalam keadaan terbaring dan tenggelam di dalam parit, dekat tapak pembinaan hospital baharu Seri Iskandar, pada Ahad. - Gambar hiasan
SERI ISKANDAR: Mayat seorang bayi perempuan dipercayai baru lahir ditemukan di dalam parit dekat tapak pembinaan hospital baharu Seri Iskandar, di sini, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Hafezul Helmi Hamzah, pihaknya menerima maklumat berhubung perkara itu pada 3.15 petang.
Katanya, identiti bayi tersebut masih belum dikenal pasti dan ditemui dalam keadaan tanpa pakaian, dengan tali pusat yang disyaki sudah dipotong.
"Mayat ditemui dalam keadaan terbaring dan tenggelam di dalam parit.
"Pemeriksaan secara fizikal mendapati tiada sebarang kecederaan luar.
"Bedah siasat akan dilakukan pada Isnin 11 Mac, jam 9 pagi di Hospital Changkat Melintang, Bota.
"Ia akan dilakukan oleh Pakar Perubatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk mengenal pasti punca kematian," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Hafezul Helmi menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Insp Mohamad Zulkarnaiin Jusoh di talian 013-9740294.
#mayat bayi #bayi baru lahir #Seri Iskandar #tapak pembinaan hospital