GOMBAK: Satu mayat lelaki ditemukan di tepi jalan berhampiran tempat mengambil air bukit di Hulu Yam, Selangor pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, polis menerima panggilan orang awam berhubung penemuan itu pada jam 8.30 pagi.

Hasil pemeriksaan awal mendapati mayat berkenaan dipercayai dibunuh.

Identiti mayat berkenaan walau bagaimanapun masih belum dikenal pasti.

"Di Jalan Sungai Tua Hulu Yam di mana mayat ini kita percaya telah dibunuh dan identiti serta butir-butir pada si mati kita belum dapat lagi.

"Kita akan menjalankan siasatan lanjut dan kita yakin kes ini akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat," kata Zainal Mohamed.

Polis juga masih menyiasat sama ada mangsa dibunuh di kawasan lain atau sebaliknya.

Mayat dibawa ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat.