MALAYSIA
Mayat dua beranak mereput: Polis sahkan tiada unsur jenayah, kematian kekal SDR
Mayat seorang wanita dan anak perempuannya berusia 2 tahun yang reput ditemukan dalam sebuah pangsapuri di Jalan Bukit Gambir, Pulau Pinang semalam. - Gambar fail/Sinar Harian
GEORGE TOWN: Polis mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah dalam kes kematian dua beranak yang mayat mereka ditemukan reput dalam sebuah pangsapuri di Jalan Bukit Gambir, Pulau Pinang semalam.
Ringkasan AI
- Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kematian dua beranak yang ditemukan dalam keadaan reput di sebuah pangsapuri di Jalan Bukit Gambir, Pulau Pinang, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
- Hasil bedah siasat menunjukkan tiada kecederaan luaran atau dalaman mencurigakan, hanya pereputan organ akibat kematian yang telah lama berlaku; jenazah telah dituntut oleh ahli keluarga.
- Mayat wanita berusia 40 tahun dan anak perempuannya berusia dua tahun ditemui selepas jiran mengadu bau busuk, dengan polis menerima maklumat pada 30 Jun sekitar jam 4.41 petang.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata hasil keputusan bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik, Hospital Pulau Pinang mendapati tiada sebarang kecederaan luaran atau luka pada tubuh kedua-dua si mati.
Pemeriksaan dalaman juga menunjukkan terdapat pereputan organ, namun tiada kecederaan dalaman yang mencurigakan ditemui.
Sehubungan itu, polis mengklasifikasikan kes ini sebagai kematian mengejut (Sudden Death Report - SDR), dan tiada siasatan lanjut dilakukan setakat ini.
Sementara itu, jenazah dua beranak dituntut ahli keluarga selepas urusan bedah siasat selesai di jalankan di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang hari ini.
Astro AWANI semalam melaporkan mayat seorang wanita dan anak perempuannya berusia 2 tahun yang reput ditemukan dalam sebuah pangsapuri di Jalan Bukit Gambir, Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang terkesan bau busuk dari kediaman itu pada jam 4.41 petang Isnin.
Setakat ini, kematian mangsa yang masing-masing berusia 40 dan dua tahun itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat.
#Mayat dua beranak mereput
#tiada unsur jenayah
#Polis Daerah Timur Laut
#Bukit Gambir
#SDR
#terkini