Mayat keenam mangsa lemas Bukit Beruntung ditemui

Harits Asyraf Hasnan
Mac 19, 2017 03:50 MYT
Mayat mangsa keenam yang lemas dijumpai petugas SAR. - Foto: JBPM
Mangsa keenam insiden sekumpulan kanak-kanak yang dihanyutkan air deras di Kampung Timah, Bukit Beruntung di sini, telah dijumpai oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) selangor, yang disambung pagi ini.
Mangsa, Mohd Ikhwan Mohd Ridhwan, 10, dijumpai di tepi sungai dalam kawasan berumput dalam jarak 1 kilometer dari pertemuan Sungai SKC dan Sungai Selangor pada jam 10.20 pagi.
"Pengecaman mayat dibuat oleh keluarga mangsa berdasarkan pakaian mangsa.
"Mangsa terus dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk pengecaman dan tindakan selanjurnya," ujar Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul melalui pesanan ringkas.
Setakat ini, cuma seorang lagi mangsa, Muhammad Aiman Kamarul Ariffin, 12, yang masih belum ditemui, dan usaha mencarinya dipergiatkan.
Operasi SAR yang masuk hari ketiga hari ini, dijangka diteruskan sehingga jam 7 malam.
Dalam kejadian kira-kira 5 petang Jumaat lalu, lapan kanak-kanak berusia antara sembilan hingga 12 tahun dari kawasan perumahan berdekatan dihanyutkan air pasang besar ketika mereka menangguk ikan di sungai itu.
Seorang daripada mereka dilaporkan selamat.
Sebelum ini, lima mangsa yang meninggal dunia akibat lemas ialah pasangan adik-beradik, Shahrizat Abdullah, 12, dan Shahrizwan, 10; Amirul Hakimi Khairul Amru, 9, Muhammad Iskandar Shah, 12, dan Muhammad Aiman Fitri Md Asmadi, 12.
#bomba #Bukit Beruntung #Kanak-kanak #mati lemas #muhammad Aiman Kamarul Ariffin #Muhammad Ikhwan #pelajar #Sungai SKC