LABUAN: Pasukan penyelamat hari ini menemukan mayat Kenneth Saing, seorang kru kapal tunda yang dipercayai jatuh ke laut ketika kapal itu sedang bersauh di perairan Pulau Papan, di sini semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Labuan Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata mayat Kenneth ditemukan pada 7.45 pagi tadi di kedudukan sekitar 20 meter selatan Jeti Feri Labuan.


Beliau berkata Sub Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Kota Kinabalu telah mengaktifkan Operasi Carilamat sekitar 9.40 malam tadi sejurus menerima maklumat berkaitan kejadian daripada Pusat Operasi Maritim, APMM Zon Maritim Labuan.

Katanya Kenneth, 33, yang bekerja di atas kapal tunda tempatan, Tanjung Biru 1 dilaporkan hilang setelah gagal dikesan oleh rakannya dan mangsa dilihat kali terakhir pada 6 petang semalam.

"Kesemua barang peribadi mangsa masih lagi berada di atas kapal. Kapal berkenaan dikatakan sedang bersauh sebelum meneruskan pelayaran menuju ke Miri, Sarawak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nudin, sejurus Operasi Carilamat diaktifkan, bot peronda APMM telah diatur gerak ke lokasi kejadian bagi membuat pengesahan dan melakukan pencarian awal mangsa.

Beliau berkata operasi turut melibatkan bantuan aset dan anggota daripada Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Katanya mayat Kenneth diserahkan kepada Unit Forensik Polis Diraja Malaysia untuk siasatan lanjut.

Nudin turut mengingatkan orang awam supaya melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut ke talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427 999.

-- BERNAMA