Mayat kru kapal layar lemas di Langkawi ditemukan

Adie Sufian Zulkefli
Mei 13, 2022 04:39 MYT
Mayat dibawa ke Jeti Datuk Syed Omar dan sebaik tiba kakak mangsa mengesahkan mayat itu adalah adiknya. - Foto Astro AWANI
LANGKAWI: Mayat kru kapal layar yang lemas, Ahmad Nur Hassanuddin Ibrahim, 23, ditemukan terapung di antara Pulau Bumbun dan Pulau Tuba pada jarak lebih kurang 1.5 batu nautika dari lokasi mangsa dipercayai jatuh.
Ketua Polis Daerah Langkawi Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam yang menemui satu mayat terapung kira-kira jam 7.15 pagi tadi.
Katanya, dua aset iaitu bot Polis Marin dan Bomba dikerah ke lokasi penemuan.
BACA: Kru kapal layar dikhuatiri lemas terjatuh di laut
Mayat kemudiannya dibawa ke Jeti Datuk Syed Omar dan sebaik tiba kakak mangsa mengesahkan mayat itu adalah adiknya.
Mayat kemudian dihantar ke hospital Sultanah Maliha untuk bedah siasat.
Dalam kejadian pada Rabu, mangsa Ahmad Nur Hassanuddin Ibrahim, 23, berasal dari Alor Setar dipercayai lemas.
Bot fiber dinaiki mangsa ditemui pemancing pada kedudukan 0.3 batu nautika Barat Daya Hotel Westin.
#kru kapal layar #lemas #mayat ditemui #Langkawi