Mayat lelaki berulat ditemukan dalam longkang

Astro Awani
Januari 5, 2018 22:18 MYT
Polis masih menyiasat identiti mayat yang ditemui tetapi mangsa dipercayai terlibat kes pembunuhan. - Astro AWANI
Mayat seorang lelaki ditemukan dalam keadaan mengerikan dekat Lorong Perindustrian Bukit Minyak, Seberang Perai Tengah petang Jumaat.
Mayat tanpa kepala serta berulat ditemui bersama timbunan sampah di dalam longkang oleh orang awam yang terhidu bau busuk ketika melalui jalan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid memberitahu, polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 6.30 petang yang memaklumkan mengenai penemuan mayat tersebut.
Katanya, setakat ini, polis masih menyiasat identiti mangsa dan polis percaya dia mungkin mangsa pembunuhan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
#berulat #longkang #mangsa #mayat #Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid #polis #sampah #Seberang Perai #tanpa kepala