Mayat lelaki dengan kesan torehan ditemui di Kampung Kuchai

Abd Razak Mohd Ali
Julai 14, 2022 15:37 MYT
Keadaan lelaki berusia 54 tahun itu disedari orang awam sekitar jam 3.30 petang sebelum memaklumkan kepada polis. - Foto ihsan polis
IPOH: Mayat seorang lelaki ditemui dengan beberapa kesan torehan di kaki dan tangan dalam bangunan Galeri Aminuddin Baki, di Kampung Kuchai dekat sini pada Khamis.
Keadaan lelaki berusia 54 tahun itu disedari orang awam sekitar jam 3.30 petang sebelum memaklumkan kepada polis.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, polis yang tiba di lokasi mendapati mayat mangsa dalam keadaan terbaring di hadapan pintu bangunan terbiar itu, dengan kesan darah di bahagian kaki dan pergelangan tangan kanan.
Dalam kenyataan malam Khamis, beliau berkata, terdapat dua bilah pisau lipat berada berhampiran mayat mangsa
Bagaimanapun, pasukan siasatan mendapati tiada kesan pergelutan dan unsur jenayah lain.
Tempat kejadian juga tidak mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan saksi awam yang melihat kejadian bagi membantu siasatan.
Yahaya berkata, siasatan awal mendapati mengsa merupakan seorang gelandangan dan terdapat beberapa rekod perubatan di dalam begnya.
Katanya, kali terakhir simati menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pada 25 Mei lalu.
Berdasarkan rekod perubatan, mangsa juga merupakan pesakit HIV dan terdapat kad temu janji si mati bertarikh 18 Oktober, 2022.
Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat pada Jumaat.
#mayat lelaki #kesan torehan #Galeri Aminuddin Baki #Kampung Kuchai #Hospital Raja Permaisuri Bainun #HRPB