Lelaki yang hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai di Jambatan Sultan Yusuf di sini, ditemui terapung pada Isnin.

Mangsa dikenali sebagai Nathan, 37, ditemui pada jam 11.40 pagi tadi dan mangsa ditemui 200 meter dari lokasi terakhir dia dilihat.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada Ahad, sekitar jam 9.28 pagi.

"Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan dengan bantuan Pasukan Penyelam Di Air (PPDA) dan Unit Anjing Pengesan (K9) terlibat dalam operasi pencarian mangsa.

"Pencarian itu melibatkan teknik 'surface searching' oleh anggota PPDA. Operasi pencarian yang memasuki hari kedua ini diteruskan dengan jarak pencarian diperluaskan.

"Keluasan pencarian sejauh 2.4km dari semua arah bermula dari lokasi mangsa dipercayai hilang.

"Kekuatan pasukan mencari dan menyelamat melibatkan 13 orang anggota bomba, 2 orang anggota polis dan 4 orang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),"
katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ujarnya, pasukan penyelamat telah menjumpai mangsa dalam keadaan terapung, 200 meter dari mangsa dipercayai dilihat kali terakhir.

Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya, dan operasi tamat pada jam 1.30 petang.

Sebelum ini media melaporkan kehilangan mangsa disedari orang ramai selepas menemui barangan peribadi mangsa termasuk kad pengenalan diri berdekatan jambatan tersebut.