SEMPORNA: Mayat seorang lelaki ditemui orang awam terapung di kawasan Buwan Dive Resort, Kampung Tampi Tampi, Semporna, Sabah pada Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah pada Selasa berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada 7.41 pagi sebelum menghantar sepasukan pegawai dan anggota polis ke lokasi kejadian.

Siasatan awal mendapat lelaki tersebut berketinggian kira-kira 167 sentimeter, manakala wajahnya sudah mereput dan tidak dapat dikenali serta perut mangsa sudah mengembung.

Polis juga tidak menemui sebarang pengenalan diri pada mayat yang memakai seluar panjang berwarna hitam serta baju memakai baju hitam bercorak biru.

Mayat turut tersebut turut memakai gelang getah hitam serta memakai tali berupa tangkal berwarna kuning.

Mayat seterusnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Semporna untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian tersebut diminta menghubungi Ketua Balai Polis Semporna, Inspektor Mustapha Majid ditalian 010-551 7617 atau 089-782020.