Seorang lelaki warganegara Bangladesh ditemui mati dengan kesan tetakan di dahi dan kepalanya dalam kejadian di kawasan kebun sayur di Jalan Ara Kuda, Tasek Gelugor pada Rabu.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, mayat Mohamad Abdul Lofti, 53, ditemui dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah oleh seorang wanita yang dalam perjalanan ke kebun sayur.

Wanita berkenaan kemudian telah menghubungi anak saudara mangsa sebelum memaklumkan kepada pihak polis penemuan mayat tersebut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata berdasarkan kesan kecederaan di dahi, lebam dipipi kiri dan lutut kanan mangsa dipercayai dibunuh menggunakan objek tumpul dan keras.

Menurutnya polis turut menemui sebatang besi gali lubang berikutan 70 sentimeter tidak jauh daripada mayat lelaki itu dan dipercayai ia senjata digunakan oleh suspek untuk memukul mangsa hingga mati.

Noorzainy berkata berdasarkan keterangan pekerja kebun yang tinggal di kawasan kebun itu, mangsa telah ke rumah majikan kepada pekerja di situ pada jam 9 malam Selasa untuk mengambil duit gaji pekerja lain untuk dikirimkan kepada keluarga mereka di Bangladesh.

Katanya, selepas menerima wang gaji pekerja kebun sebanyak RM3,000 mangsa terus beredar untuk pulang ke rumahnya.

Bagaimanapun mayat lelaki itu ditemui pagi hari ini.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan mangsa disamun kerana sejumlah wang pekerja telah hilang.

Bagaimanapun, barangan peribadi milik mangsa antaranya ubatan, telefon bimbit, surat, wang dan kad prabayar telefon berjumlah RM418 masih berada dalam bungkusan plastik bersamanya.

Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan suspek yang terlibat dalam kes bunuh itu.

Norzainy berkata, mangsa adalah bekas pekerja ladang sayur itu sudah tinggal di negara ini sejak tiga tahun lepas.

Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mangsa yang tidak bekerja menjual kad prabayar telefon bimbit dan membantu mengirimkan wang kepada keluarga pekerja kebun yang lain di Bangladesh.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk dibedah siasat.

Laporan bedah siasat mendapati lelaki itu mati akibat hentakan kuat objek tumpul dan keras sehingga menyebabkan keretakan tulang tengkorak serta mengalami pendarahan yang banyak dalam otak.

Norzainy meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.