Mayat lelaki warga Indonesia yang dipercayai lemas dijumpai pihak Unit Udara Polis Diraja Malaysia Sarawak ketika membuat pemantauan untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas di Damai Puri Santubong Kuching petang Isnin.

Penolong Pegawai Gerakan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak balai Petrajaya, Azaharul Sahari yang juga selaku timbalan komanden operasi berkata, mangsa yang dikenali sebagai Rusmana, 44 tahun ditemui pada jam 3.15 petang di sekitar persisiran pantai pada jarak 500 meter dari Pusat Kawalan Operasi Bomba.

"Radius pencarian di sekitar laut tidak dapat diperluaskan berikutan kekangan dari segi cuaca yang tidak mengizinkan dan ombak laut yang bergelora serta angin kencang namun dengan bantuan unit udara daripada Polis Diraja Malaysia Sarawak telah membuahkan hasil sehingga mangsa pertama daripada dua mangsa yang hilang dikhuatiri lemas berjaya dijumpai.

"Setelah membuat pencarian melalui 'visual-visual searching' oleh pihak Unit Udara Polis, kita berjaya menjumpai seorang mangsa. Jarak dari Pusat Kawalan Operasi adalah lebih kurang 500 meter, atau lebih tepat 400 meter ke 600 meter dimana mangsa dipercayai.

"Setelah menerima maklumat daripada keluarga mangsa, mangsa adalah Rusmana yang berusia 44 tahun," katanya.

Ujarnya, operasi pencarian mangsa kedua dikenali sebagai Osman, 22 tahun yang juga merupakan warga Indonesia masih giat diteruskan.

"Kita memerlukan khidmat pemantauan dari Unit Udara Polis Diraja Malaysia Sarawak memandangkan operasi pencarian yang dilakukan dengan kaedah 'water surface searching' iaitu menggunakan bot terpaksa ditangguhkan akibat ombak laut yang bergelora.

"Untuk operasi tersebut, seramai 58 orang anggota daripada lima agensi iaitu Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak balai Petrajaya, Angkatan Pertahanan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia Sarawak, Angkatan Pertahanan Awam Sarawak dan RELA Kuching turun melakukan operasi pencarian.

"Berdasarkan maklumat daripada pengawal pantai, empat orang mangsa dipercayai mandi di kawasan berbatu setelah dilarang pihak pengawal pantai akibat ombak besar dan amaran bendera merah telah dikibarkan di kawasan pantai semalam," ujarnya.

Jelasnya lagi, mereka mandi di kawasan berbatu tanpa pengetahuan pihak pengawal pantai sehingga mengakibatkan dua orang dikhuatiri lemas manakala dua lagi dapat diselamatkan rakan mangsa.