Mayat lelaki warga Malaysia ditemui terapung di Sungai Golok

Muhafandi Muhamad
Februari 28, 2016 09:35 MYT
Jasad mangsa selepas ditarik keluar ke tebing Sungai Golok. - Foto Astro AWANI
Seorang lelaki ditemui mati dengan kesan kecederaan di bahagian kepala di percayai dibunuh di Sungai Golok berhampiran Pengkalan Klinik di sini pagi tadi.
Mayat mangsa yang lengkap berpakaian ditemui terapung di dalam sungai berkenaan oleh penduduk sekitar jam 11 pagi tadi.
Mangsa, Azami Mohamed, 38, merupakan seorang guru pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan Mengkebang, dan berasal dari Kampung Pasir Kelang Baru, Kuala Krai.
Kes berkenaan dikendalikan oleh pihak berkuasa Thailand kerana mayat berkenaan ditemui dalam kawasan Thailand.
Mayat warga negara Malaysia itu dipercayai dibunuh di tempat lain dan dibuang di sungai berkenaan.
Dokumen penting termasuk kad pengenalan, kad bank dan sebagainya turut ditemui bersama mangsa.
Mayat mangsa kini ditempatkan di Hospital Sungai Golok dan siasatan dilakukan oleh pihak berkuasa Thailand.
Keadaan jasad mangsa yang terapung di sungai ketika ditemui penduduk setempat. - Foto Astro AWANI
#lelaki Malaysia dibunuh #mati terapung #Sungai Golok