MALAYSIA

Mayat mangsa diserang buaya ketika memancing ditemukan di Sungai Maong

Bernama 28/06/2025 | 10:47 MYT
Mangsa sedang memancing bersama bapa mentua sebelum dibaham buaya yang menariknya ke dasar sungai dalam kejadian yang berlaku kira-kira 10 malam tadi. - Gambar hiasan
KUCHING: Mayat seorang lelaki tempatan dipercayai dibaham buaya ketika memancing di Jalan Matang, Sungai Maong malam tadi ditemukan kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian tengah hari ini.

Ringkasan AI
  • Mayat seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun ditemui selepas dipercayai dibaham buaya ketika memancing di Sungai Maong, Jalan Matang, Kuching pada malam 27 Jun 2025.
  • Operasi mencari dan menyelamat melibatkan pelbagai agensi berjaya menemui mayat mangsa kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian pada keesokan harinya.
  • Mangsa mengalami kecederaan akibat serangan buaya dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut; mayat dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata mangsa Jacob Tuan, 32, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada 12.30 tengah hari.
"Keadaan badan mangsa mengalami beberapa kesan kecederaan dipercayai akibat serangan buaya.
"Mangsa disahkan meninggal dunia dan mayatnya dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan mangsa sedang memancing bersama bapa mentua sebelum dibaham buaya yang menariknya ke dasar sungai dalam kejadian yang berlaku kira-kira 10 malam tadi.
Operasi SAR itu adalah kerjasama pelbagai agensi termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Perbadanan Perhutanan Sarawak.
-- BERNAMA
#kes serangan buaya #Sarawak #Padawan #Kuching