Penduduk Kampung Pantai Damat di sini dikejutkan dengan penemuan mayat seorang lelaki dan sebuah basikal dalam tali air di kampung itu pagi semalam.

Hasil siasatan mendapati, mangsa adalah seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) yang maut selepas dipercayai terjatuh ke dalam tali air itu.

Mangsa yang berusia 50-an itu dipercayai sudah meninggal dunia lebih 10 jam ketika ditemui.

Ketua Polis Daerah Bachok DSP Shamsulmuddin Sulaiman berkata, mangsa dipercayai terjatuh ketika menunggang basikal pada Rabu malam.

"Apa yang diperolehi setakat ini, mangsa terjatuh ke dalam parit tali air ketika menunggang basikal.

"Kejadian dipercayai berlaku malam tadi (Rabu) dan tiada saksi yang nampak kejadian, cuma pagi ini ada budak sekolah yang perasan ada mangsa dalam parit itu," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah pada mangsa hasil pemeriksaan ke atas mayat dan basikal yang ditemui.

"Memang tiada unsur jenayah atau mangsa kena langgar. Bagaimanapun, kita belum dapat sepenuhnya siasatan," katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat.

Kes diklafikasikan sebagai mati mengejut.