[TERKINI] Pelajar Perempuan Maut Ditikam di Sekolah Bandar Utama – Suspek Ditahan, Direman Esok | Ikuti Perkembangan di Saluran 501 & Semua Platform AWANI
MALAYSIA

Mayat pemandu Proton Saga terjunam di Sungai Panchor dijumpai

Bernama 14/10/2025 | 01:20 MYT
Kereta yang terjunam ke dalam Sungai Panchor, di Pekan Panchor, Pagoh, berjaya dinaikkan pada awal pagi Selasa. - Foto JBPM Johor
MUAR: Mayat seorang lelaki, pemandu Proton Saga yang terjunam ke Sungai Panchor, Pagoh, petang semalam, berjaya ditemukan dan dikeluarkan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada 1.01 pagi tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Nor Alfatah Omar berkata, mangsa Mud Husni Mahmud, 47, ditemukan dalam kereta berwarna hitam itu selepas kenderaan berjaya dinaikkan menggunakan kren.

Beliau berkata kereta dan mayat mangsa berjaya dikeluarkan selepas operasi SAR selama 11 jam, dengan kenderaan ditemukan pada kedalaman kira-kira 15 meter di dasar sungai.

"Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Muar dan BBP Skudai dikerahkan ke lokasi dan melakukan beberapa selaman khas. Pada 10.21 malam, pasukan PPDA mengesan kenderaan itu pada jarak kira-kira 50 meter dari tebing sebelum kerja menaikkan kereta dijalankan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, dan operasi ditamatkan pada 1.38 pagi dengan melibatkan 20 anggota dari BBP Pagoh, BBP Muar dan BBP Skudai, dibantu dua bot fiber serta beberapa jentera sokongan.

-- BERNAMA






#Sungai Panchor #mayat lelaki #terjunam #SAR