MALAYSIA

Mayat pengembara solo warga UK dituntut keluarga

Astro Awani 12/06/2025 | 08:23 MYT
Mayat mangsa yang ditempatkan di Jabatan Forensik PPUM diserahkan kepada keluarganya selepas polis melengkapkan siasatan dan beberapa prosedur dokumentasi. - Foto fail/fb @Leanne Burnett
KUALA LUMPUR: Mayat pengembara solo warga British, Jordan Michael John Johnson-Doyle dituntut keluarga mangsa pada pukul 2.50 petang, Khamis.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood, mayat mangsa yang ditempatkan di Jabatan Forensik Pusat Perubatan Malaya (PPUM) itu diserahkan kepada keluarganya selepas polis melengkapkan siasatan dan beberapa prosedur dokumentasi.

"Mayat mangsa dijangka diterbangkan ke negara asalnya pada 18 Jun depan, pukul 11.30 malam," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Khamis.

Selain bapa sudara, ibu bapa mangsa juga berada di Malaysia bagi proses tuntutan mayat.

Johnson-Doyle, 25, disedari hilang oleh keluarga apabila telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi, malah akaun media sosialnya juga tidak aktif sejak 27 Jun lalu.

Susulan itu satu laporan polis dibuat pada 2 Jun lalu.

Minggu lalu, polis mengesahkan menemukan mayat mangsa di sebuah tapak pembinaan di Bangsar, di sini.

Identiti mangsa disahkan bapa saudara mangsa berdasarkan pengecaman tatu pada tubuhnya.

Bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan dada disebabkan terjatuh dari tempat tinggi.

Polis juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).


#bedah siasat #Jordan Michael John Johnson-Doyle #mayat dituntut #warga UK