Mayat reput dalam kereta: Tiga ditahan disyaki bunuh rakan sejenayah

Shuhada Abdul Kadir
Januari 14, 2021 12:19 MYT
Pasukan polis telah berjaya menahan seorang lelaki berumur 39 tahun yang menetap di pangsapuri berkenaan dan menemui kesan darah di dalam rumah suspek. - Gambar hiasan
AYER KEROH: Tiga anggota samun berkumpulan di Melaka dicekup pihak polis, selepas dipercayai membunuh rakan sejenayah mereka.
Ia susulan penemuan mayat seorang lelaki yang hampir reput dalam sebuah kereta di parkir sebuah rumah pangsa di Batu Berendam, Melaka, 7 Januari lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, mayat lelaki itu ditemukan dalam sebuah kereta yang diletakkan di parkir pangsapuri berkenaan yang dipercayai sudah meninggal dunia lebih 48 jam berdasarkan kesan hentakan benda keras di kepala, selain terdapat kesan luka tikaman di perut dan leher.
Menurutnya, berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan, pasukan polis telah berjaya menahan seorang lelaki berumur 39 tahun yang menetap di pangsapuri berkenaan pada hari yang sama dan menemui kesan darah di dalam rumah suspek.
Katanya, penahanan suspek membawa kepada tangkapan dua lagi rakannya berumur 34 dan 42 tahun di Ipoh, Perak pada 11 Januari lalu yang dipercayai turut terlibat dalam pembunuhan itu.
Katanya, siasatan awal mendapati motif pembunuhan adalah disebabkan pergaduhan antara keempat-empat mereka termasuk mangsa berkaitan dengan kes samun bersenjata yang dilakukan di sebuah kedai serbaneka di Kota Laksamana pada 4 Januari lalu.
Bunuh rakan | Tiga penjenayah ditahan di Melaka
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka (IPK) hari ini.
Mengulas lanjut, jelas Abdul Majid, hasil semakan polis turut mendapati mangsa bersama ketiga-tiga suspek dipercayai telah aktif melakukan samun menggunakan senjata parang sejak dua bulan lalu dengan menyasarkan kedai-kedai yang beroperasi 24 jam.
Tambahnya, ketiga-tiga suspek yang ditahan positif dadah methaphetamine dan dua dari tiga suspek itu mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah.
Kesemua suspek kini sedang direman sehingga 18 Januari depan dan kes disiasat di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan.
#suspek #kereta #siasatan #samun #mayat #meninggal dunia #jenayah #Dadah #mayat reput #rakan sejenayah #samun berkumpulan #bunuh rakan