Mayat sempat 'diselamatkan' dalam kebakaran van

Vivi Sumanti
Mac 4, 2019 09:28 MYT
Van mayat yang terbakar di simpang empat lampu isyarat Jalan Pintu Pong pagi tadi. -Astro AWANI
Sebuah van mayat terbakar di simpang empat lampu isyarat Jalan Pintu Pong di sini sekitar jam 9.30 pagi tadi.
Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Darulnaim, Marzuki Tuan Mat berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.37 pagi tadi.
Dua buah jentera bersama 11 anggota dikejarkan ke lokasi dan berjaya menyelamatkan keranda berisi mayat daripada hangus terbakar.
"Kami menjalankan operasi pemadaman dan selepas lima minit api berjaya dipadamkan dan kami dapat membawa keranda berisi mayat tersebut.
"Keranda berkenaan tidak hangus walaupun van berkenaan hangus terbakar,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Marzuki, van tersebut sedang dalam perjalanan membawa mayat mendiang Tiew Sien Yong, 41, dari Hospital Raja Perempuan Zainab 11, Kota Bharu ke Pauh Lima, Bachok untuk urusan pembakaran.
Menurutnya lagi, kedua-dua pemandu dan pembantu van berkenaan tidak mengalami kecederaan kerana mereka berhenti untuk keluar membeli buku.
Punca dan kerugian masih dalam siasatan, manakala van berkenaan terbakar 100 peratus.
#Bomba dan Penyelamat Kota Darulnaim #hangus terbakar #Jalan Pintu Pong #keranda berisi mayat #Marzuki Tuan Mat #operasi pemadaman #tiba-tiba terbakar #van mayat terbakar