KINABATANGAN : Mayat wanita yang disambar buaya ketika memancing dalam satu kejadian di Kampung Tanjung Bulat, dekat sini, pada Sabtu sudah ditemui hari ini.

Mayat mangsa, Norsila Sayong, 32, ditemui penduduk kampung yang bersama-sama menyertai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sekitar pukul 6.35 pagi Ahad.

Apa yang memilukan, mayat mangsa yang dilaporkan cuba menyelamatkan ibunya daripada disambar buaya itu ditemui dalam keadaan kurang lengkap.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamaluddin berkata, penduduk kampung memaklumkan terdengar pergerakan buaya di sungai itu sebelum memaklumkan kejadian kepada pihak bomba.

"Pasukan SAR dan penduduk kemudiannya bergegas ke lokasi berkenaan dan menemui tubuh mangsa dalam keadaan kurang lengkap.

"Mayat mangsa ditemui kira-kira 800 meter daripada lokasi wanita itu dilaporkan disambar buaya.

"Bomba kemudiannya mengangkat mayat mangsa ke darat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, " katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Menurutnya, susulan penemuan itu, SAR ditamatkan sepenuhnya pada pukul 8 pagi.

Dalam kejadian semalam, mangsa disambar buaya ketika memancing di tebing anak sungai berkenaan yang bersambung dengan Sungai Kinabatangan bersama keluarga pada pukul 3.40 petang, Sabtu.