MALAYSIA

Mayat wanita ditemui terapung dalam sungai berhampiran Jalan Ipoh

Afiezy Azaman 20/12/2025 | 03:45 MYT
Ahmad Sukarno berkata mangsa dikenal pasti sebagai seorang wanita Melayu berusia 36 tahun yang menetap di kawasan Chow Kit dan tidak mempunyai pekerjaan tetap. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan satu mayat terapung di dalam sungai berhampiran Rivercity Kondominium, Jalan Ipoh, di ibu negara, pagi Jumaat.

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, laporan mengenai kejadian itu diterima pada jam 11.37 pagi selepas orang awam memaklumkan penemuan mayat berkenaan kepada pihak polis ketika pengadu sedang bertugas di Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

Menurutnya, sebaik anggota polis tiba di lokasi kira-kira jam 12 tengah hari, mayat terbabit didapati telah tiada dan dipercayai dihanyutkan arus sungai ke arah Sungai Gombak melibatkan kawasan Dang Wangi.

“Mayat berkenaan kemudiannya berjaya ditemui oleh anggota Balai Polis Chow Kit di dalam sungai berhampiran Sunway Putra Mall, Jalan Putra, sebelum dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Beliau berkata, mangsa dikenal pasti sebagai seorang wanita Melayu berusia 36 tahun yang menetap di kawasan Chow Kit dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.

"Mangsa dilaporkan keluar dari rumah sejak Rabu lalu dan tidak pulang sebelum mayatnya ditemui.

“Siasatan awal mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan,” katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih dijalankan.






#mayat terapung #Ahmad Sukarno Mohd Zahari #sungai gombak #HKL